Manusia diciptakan dengan keperluan dan kehendak yang berbagai. Salah satunya naluri semulajadi terhadap pasangan berlainan jantina. Dalam soal ini, agama Islam, sebagai agama fitrah, menganjurkan perkahwinan, bagi mengatur perlaksanaannya agar perkahwinan itu mendatangkan kebaikan kepada manusia. Apabila isu perkahwinan misyar disensasikan oleh media-media tempatan, khususnya pihak akhbar, masyarakat menjadi keliru. Masyarakat Islam, dalam melihat isu ini, sebagaimana biasa, berpecah kepada dua pihak: yang menerima dan yang menentang. Masyarakat bukan Islam pula sebahagiannya mungkin tertanya-tanya apa yang berlaku, sebahagian lagi tersenyum sinis, manakala yang lain ketawa terbahak-bahak melihat lelucun yang dipersembahkan. Apa yang dinamakan misyar itu bukanlah sebenarnya isu. Banyak lagi perkara lain yang penting, yang patut kita berikan perhatian. Namun, oleh kerana ia telah ditimbulkan dan digembar-gemburkan, mahu tidak mahu sesuatu mesti dinyatakan agar masyarakat beroleh kefahaman, dan tidak dikelirukan oleh kenyataan-kenyataan yang bercanggah. Pihak yang menyokong atau menentang misyar berhujah berdasarkan apa yang mereka anggap tujuan sebenar perkahwinan. Yang menyokong melihat misyar sebagai satu jalan membolehkan wanita-wanita yang berada dan berkedudukan tinggi tetapi tidak bersuami berpeluang bersuami. Yang menentang pula melihat misyar sebagai penghinaan kepada kemuliaan kepada institusi perkahwinan, yang sepatutnya berasaskan kepada cinta, dan tanggungjawab; sedangkan suami, dalam perkahwinan misyar hanya melunaskan kehendak seksual isterinya, dan tidak bertanggungjawab menyediakan nafkah zahir. Pandangan yang adil terhadap perkara ini hanya dapat diperolehi apabila kita mengetepikan emosi, dan cuba menganalisa alasan-alasan yang diberikan secara objektif. Kalau kita kembali kepada persoalan kehendak dan keperluan, yang mesti diperjelaskan di sini ialah kenapa seseorang itu (lelaki atau perempuan) berkahwin, yakni niat perkahwinan. Dalam sebuah hadis yang terkenal, Rasulullah s.a.w. menyatakan empat alasan seseorang wanita itu dipilih untuk dikahwini: kecantikan, harta, keturunan, dan agama. Dari kesemua alasan itu, tegas baginda, yang terakhir, yakni agama, adalah alasan yang paling mulia, dan patut menjadi pertimbangan utama. Hadis ini tidak menyatakan alasan-alasan yang lain tidak sah dijadikan alasan untuk berkahwin, tetapi menegaskan seseorang wanita atau lelaki yang bakal dikahwini itu patut dikahwini kerana kecintaan terhadap sifatnya yang batin, iaitu akhlak. Yang lain itu adalah perkara-perkara luaran, yang tidak boleh dinafikan daya tarikannya kepada manusia sehingga membawa kepada terbinanya perkahwinan. Salahkah seseorang itu berkahwin dengan seseorang yang dikehendakinya kerana keperluan seks, harta, dan keturunan? Jawapannya tidak salah, walaupun kita boleh mengatakan bahawa alasan-alasan itu tidak sepatutnya menjadi alasan pertama. | | Dalam perkahwinan biasa, keempat-empat alasan yang disebutkan dalam hadis di atas ada dengan kadar, dan susunan keutamaan yang berbeza bagi setiap pasangan. Perkahwinan misyar diamalkan dalam suasana-suasana yang khusus, yang berlainan daripada perkahwinan biasa. Kita boleh bayangkan wanita (atau lelaki) yang mungkin tidak berhajatkan keperluan-keperluan kebendaan kerana semua itu sudah lebih dari mencukupi baginya. Dia juga mungkin tidak perlukan anak kerana sudah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu. Katakanlah apa yang dia benar-benar hajatkan ialah keperluan seksual; salahkah dia berkahwin dengan seseorang yang bersedia memenuhi keperluannya itu secara halal? Si suami tidak boleh dituduh tidak bertanggungjawaab semata-mata kerana tidak menyediakan nafkah zahir. Sebaliknya, dia hanya bertanggungjawab memenuhi tanggungjawab seksual isterinya. Oleh kerana perkahwinan ini diasaskan kepada keperluan-keperluan khusus yang mungkin bersifat sementara, ia mungkin berakhir dengan perceraian apabila keperluan-keperluan itu tidak lagi wujud atau gagal dipenuhi. Sekali lagi, apa salahnya bercerai dengan baik dan membuka ruang kepada kepada kedua-dua pihak menjalinkan hubungan baru dengan pasangan lain yang mungkin lebih serasi. Walaupun apa yang dinyatakan ini mungkin menimbulkan rasa ‘meluat’ atau marah sesetengah pihak, tetapi kemungkinan yang disebutkan di atas tidak boleh dinafikan wujudnya, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil. Perkahwinan misyar membuktikan bahawa Islam itu mudah, dan mengambil kira keperluan-keperluan golongan sebegini. Seperti yang telah dinyatakan, perkahwinan misyar bukanlah perkahwinan biasa, oleh itu sifat hubungan antara suami dan isteri dalam perkahwinan ini ada kelainan-kelainannya. Adalah tidak adil kita mencerca mereka dengan cercaan seperti ‘pelacuran terhormat’ sedangkan mereka berkahwin, dan hakikat bahawa mereka berkahwin menunjukkan mereka menghormati batas-batas agama, dan mengamalkan ketelusan dalam hubungan mereka. Tulisan ini tidak harus difahami sebagai menyokong atau menggalakkan perkahwinan misyar. Sebaliknya, ia menyeru para pembaca melihat persoalan ini dari perspektif yang lebih menyeluruh agar pertimbangan yang adil dapat diberikan. Bahkan, seperti yang dinyatakan di atas, bukan isu ini yang ingin kita tonjolkan, tetapi bagaimana kita, umat Islam hari ini, sepatutnya memberikan tindak balas terhadap masalah-masalah yang berbangkit di kalangan mereka. Hukum-hakam Islam bukan ditentukan oleh pandangan-pandangan emosional kumpulan-kumpulan yang berkepentingan dalam masyarakat. Ia dibina atas dalil-dalil yang sah, dan kefahaman dan tafsiran yang benar terhadap dalil-dalil berkenaan. Hukum tidak boleh dipisahkan dari hikmah (kebijaksanaan), dan hikmah tidak boleh dipisahkan dari al-Hakim, Tuhan Yang Maha Bijaksana, yang menurunkan hukum, dan memberikan kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya memahami hukum-hukumNya. |
oleh: Md. Asham B. Ahmad, Fellow, Pusat Syari'ah, Undang-undang dan Sains Politik IKIM
sumber: IKIM
No comments:
Post a Comment